Isnin, 21 Januari 2013

Kisah Cinta Seorang Wanita.....

Posted by Emmymazli at 5:18 PTG

Salam semua.... 

Harini aku amat terpanggil untuk menulis mengenai kata-kata Ustad Azhar Idrus mengenai rumahtangga…

SELAMA MENEMPUH HIDUP BERKELUARGA - sedarilah bahawa jalan yang dilalui tidak melalui jalan bertabur bunga, tapi semak belukar yang penuh onak duri.

KETIKA RUMAHTANGGA GOYANG - jangan saling berlepas tangan tapi sebaliknya justru semakin erat berpegang tangan.

Macam mana aku nak cakap ekkk.... pada aku... ada benar kata-kata UAI tu.  Rumahtangga mana yang tidak bergolak... pahit manis biarlah diharungi bersama.... jika salah seorang melakukan kesilapan haruslah saling tegur menegur waima terlalu pahit untuk ditelan tapi aku berpegang "manusia melakukan kesilapan.... maafkanlah sesama sendiri selagi mampu.... asalkan tidak melangkaui  batasan..."

Sedikit cerita dari kisah benar yang aku nak ungkaikan dari kata-kata UAI sebagai pengajaran untuk aku sendiri dan mereka di luar sana yang sudah berumahtangga  mahupun bakal mendirikan rumah tangga....  moga menjadi iktibar untuk semua….


Kisah Cinta Seorang Wanita…. (dari cerita kisah benar)

Pengalaman aku yang telah berkahwin 12 tahun... pelbagai liku rumah tangga yang aku telah lalui.... sedih dan tawa... susah dan senang... benci dan sayang.... semuanya bersama suami yang tercinta.  Aku sedar aku bukan wanita yang terhebat untuk suami aku... tapi aku cuba jadi yang terbaik walau aku sedar aku tak sebaik mana.... aku sedar adakala aku malas... aku sedar adakala aku garang... aku sedar adakala aku nakal... aku sedar adakala aku berperangai melampau.... huhuhu.  Jujurnya... aku tak pernah nak kata aku ni wanita terbaik untuk suami aku.  Begitu juga aku menerima seadanya suami aku walaubagaimana pon sikap dan perangainya.... bagi aku dia adalah segalanya... pelengkap hidup aku..... Kalau dia boleh senaraikan buruk dan baik aku.... tapi aku tidak boleh nak senaraikan kerana aku terima suamiku seadanya....

Hmmm.... tidak dinafikan.... pelbagai dugaan yang melanda perkahwinan ku sepanjang tempoh 12 tahun ini.... menangis tu menjadi 1 kebiasaan padaku.  Tiada orang yang mampu mengesat air mata ini untuk aku dan juga memujuk tatkala hati wanita aku terguris.... bukan kata aku tak bahagia.... tapi aku bersyukur kerana masih ada lelaki mulia yang menerima aku untuk dijadikan isteri setelah mengetahui kisah silamku.  Walaupun pada awalnya perkahwinan aku dulu tak direstui keluarga.... tapi aku tetap dengan pendirian aku kerana aku pasti lelaki ini mampu mengubah hidup aku.  Alhamdulillah… keluarga sudah boleh menerima seadanya suamiku setelah apa yang dibuktikan olehnya….  Namun, walaupun selepas beberapa tahun berkahwin, pelbagai rintangan yang telah aku harungi.... dimarah... diperli... dihina... hanya air mata peneman diri aku.  Aku hanya  mampu mengesat air mataku sendiri.... Aku tak mengadu dengan keluarga dan adik beradik aku.... kerana aku tahu.... aku juga akan menerima habuan dan tohmahan.... Kepada siapa aku nak mengadu??? Kawan-kawan rapat??? Tapi bolehkah diorang bantu???  Bagi aku... perkahwinan ada pasang surutnya.... ada masa memang kita rasa sangat bahagia..... ada masa bergaduh hingga kita lupa siapa diri kita...

Tidak dinafikan juga ada orang ketiga yang pernah menyayangi diri ini dizaman persekolahan hendak mengesat air mata ini dan menunjukkan yang dia lebih baik dari suami aku... tapi aku masih tahu batas-batas aku.  Aku sayangkan perkahwinan aku walaupun ia tak segah perkahwinan orang lain.  Walau orang ketiga itu cuba pelbagai cara tanpa aku sedar pada ketika itu.. tapi aku masih sedar aku sayangkan suami aku walau suami aku tak selembut mana... walau suami aku tak sekaya mana... walau suami aku tak setampan mana.... dia tetap suami aku.  Mungkin aku silap mengadu tatkala hati terluka dan aku sedar aku terlayan kata-kata dia yang mengarut.... tapi bagi aku ia hanya kata-kata lelaki yang gatal.  Hakikatnya…. aku tidak pernah keluar dengan lelaki lain tanpa pengetahuan suami aku dan melakukan perkara-perkara diluar batasan aku sebagai isteri terutamana ketika dia bekerja diluar kawasan.  Aku masih berpegang pada agama dan tertib aku sebagai isteri.  Bagaimanakah dapat aku buktikan yang aku tidak bersalah? 

 
17 Jan

3.00 petang
Adakalanya kebenaran di dalam kehidupan yang amat menyakitkan adalah sesuatu yang lebih wajar di simpan sebagai sebuah kenangan.... Kalau 10 tahun sebelum ni dalam perkahwinanku... aku merasa  bahagia tapi adakala aku menangisi pelbagai perkara yang tanpa suamiku sedar kesilapannya.... Kini aku berterus terang.... 2 tahun terakhir ini aku merasa amat bahagia dan amat berbangga dengan perkahwinanku dan suamiku.  Aku bangga suami ku telah banyak berubah... aku bangga suami aku lebih positif.  Aku bangga suami ku lebih penyayang dan prihatin terhadap aku dan keluarga.  Tiada apa lagi yang aku hendak minta.  Kebahagian dan kasih sayang suami aku.  Aku rasakan... tanpa suamiku sukar untuk aku berdiri andai aku lumpuh.... Sebab itu... aku cuba hindari segala anasir luar yang cuba mengganggu perkahwinan ku perlahan-lahan.  Aku minta perkahwinan dan diriku dihormati....  Tapi bila kejujuran aku mula dikorek dan terjumpa perkara lama yang aku cuba perbaiki dan tinggalkan angkara mimpi  suamiku yang aku melakukan hubungan seks dengan lelaki lain selama 3 hari berturut-turut.... segala-galanya musnah begitu sahaja.  Aku di sangka berlalu curang apabila suamiku terbaca perbualan lelaki  gatal dari zaman sekolah tadi denganku melalui laman sosial yang berbaur lucah.  Aku tidak memulakan tetapi lelaki itu… terang-terangan adakala aku cuba mengelak…. Aku sedar kesilapan aku kerana tidak memadam mesej-mesej tersebut kerana mungkin bagiku tiada apa yang yang hendak aku sorokkan…  Namun, kerana disalah ertikan…. tiada lagi kepercayaan untukku.... tiada lagi senyuman.... tiada lagi kasih sayang.... bagaimana aku hendak teruskan hidup tanpa suamiku....??? Biarlah orang kata aku ni bodoh kerana lelaki... tapi aku sayangkan suami aku walau jahat dan buruk macam mana sekalipun suami aku.  Aku tau hati suamiku hancur.... tapi tiada ruangkah untuk aku memohon ampun dan maaf dan menerangkan hal yang sebenar?  Puas ku pujuk dan merayu tetapi tidak diendahkan.  Aku terus terusan dipersalahkan….  Menangislah air mata darah sekalipun…. Tiada makna bagi suamiku ketika itu.   Sehingga aku melakukan perkara paling bodoh dalam hidupku untuk mendapat belas kasihan dari suamiku.  Aku menelan 20 biji panadol!!  Tapi takdir tuhan…. Aku hanya pengsan sekejap dan kesihatan aku biasa-biasa sahaja
11.40 malam
Aku terus cuba memujuk suamiku walaupun dia cuba mengelak-ngelak bertembung denganku sejak petang tadi…. …. Walau tangisan dan sedu sedan… walau aku dapat memeluk suamiku tapi aku tidak dapat memeluk hatinya…. Bagaimana bisa kupujuk hatimu… sehingga aku terlelap sambil pelukanku tidak lekang…. Begitu keras hatinya juga tidak memaafkan aku.  Katanya aku nak melepaskan diri…. Tapi tetap mempertahankan diri… aku tetap mengatakan aku tidak melakukan perkara yang terkutuk itu. 


18 Jan

6.00 pagi
Aku tersedar dari tidurku.  Mataku bengkak…. Ada sisa air mata kering di mata.   Aku mencari suamiku…. Dia sedang bersiap untuk ke tempat kerja.  Aku tahu… dia cuba mengelak dari  bertembung denganku.  Alasannya dia ada tugas.  Aku meminta ampun lagi… aku ingin memeluknya lagi.  Aku sudah tiada daya…. Suamiku terus mengelak dariku apatah lagi memberiku peluang untuk mencium tangannya.  Aku tak benarkan suamiku pergi kerja selagi dia tidak memaafkan aku.  Aku tekad….. tiada cara untuk membuktikan yang aku tidak bersalah melainkan aku mati di tangan ku sendiri.  Aku melaung macam mana pun dia tetap tidak peduli.  Biarlah jiran nak kata apa janji aku dapat pujuk suamiku.  Aku cari pisau potong daging yang dibeli suamiku baru-baru ini.  Aku mengugutnya dengan memacukan pisau tajam itu dileherku.  Aku tekad untuk mati kerana tiada apa yang aku ada kecuali lelaki ini.  Jika dia tiada…. Tiada ertinya aku hidup.  Terjerit-jerit aku disubuh hari untuk mendapatkan kasih sayang suamiku semula dan tidak lekang dari mulutku memohon ampun darinya serta menyatakan aku tidak melakukan perkara terkutuk itu.  Kebetulan… anak-anak aku baru sahaja keluar dari bilik air…. Menjerit-menjerit mereka menangis minta aku jangan bunuh diri dan mereka katakan mereka sayangkan aku….. suamiku yang masih ada rasa amarah menyuruh aku memandang wajah anak-anak.  Terduduk aku berteleku sambil aku membaling pisau ke tempat lain.  Suamiku terus keluar rumah dengan tiada apa-apa reaksi untuk ke tempat kerja. 
 
Aku pergi ke tempat kerja seperti biasa walau mata aku bengkak… walau hati aku gundah gulana dan walau dalam hati aku menangis… tak tahu bagaimana hendak ku sorokkan perasananku…. Aku tak tahu kepada siapa aku mahu mengadu.  Aku ceritakan pada sahabat terapatku di sini apa yang berlaku…. Puas dia cuba menenangkan perasaan ku….. tapi hatiku tetap tidak tenang…..

1.50 petang
SMS ringkas dari suamiku:  “Ko tolong jaga anak-anak dan semua yang ada”

Bagai di panah halilintar….  Aku jawab sms suamiku…. “Abang jangan cakap yang bukan-bukan… I love u so much… I tak mahu kehilangan abang.. Please… maafkan I dan dosa I.  Untuk kali keberapa I sumpah demi Allah I tak pernah bersama dengan lelaki lain.  Maafkan I kalau  apa yang abang baca tu mengguris hati abang tapi I tak pernah buat bang…. Apa ertinya I tanpa abang… Jika  abang tak ampunkan I sekali pon atau abang tak mahu pandang I lagi… I pula minta abang jaga anak-anak.  I hidup pon selama ini bergantung pada abang… bergantung kasih sayang abang…. Segalanya kita share bang…. I tak nak orang lain menggantikan tempat abang… I tak boleh hidup dengan orang lain.  I takkan pergi mana… cuma kalau  benar abang tidak boleh terima I dan abang benar-benar tak boleh pandang I seperti dahulu… I rela MATI!!  I hidup pon tiada guna tanpa abang dan anak-anak.  Kalau abang tak balik petang ini… anggaplah abang akan tengok mayat I malam ini.  Mungkin dengan ini  I dapat buktikan pada abang I tak buat seperti yang abang sangka dan I benar-benar cintakan abang.  Jaga anak-anak dan harta kita…. Jaga orang tua I dan you. I love u abang… Terima kasih jaga I selama ini… Halalkan makan minum dan segalanya yang abang dah berikan pada I.  Ampunkan I.  Terima kasih.”

Aku sedar kata-kataku seperti orang yang tiada pegangan hidup…. Tapi siapa tahu… jiwa aku kosong….

4.30 petang
Buat suamiku.... bagaimana harus ku pujuk hatimu....? Aku bukan wanita terhebat..... adakala aku melakukan kesilapan... maafkanlah aku.... andai tiada kasih sayangmu.... segalanya tidak bererti buatku.  Aku kosong... aku tiada apa... segalanya telah ku serahkan padamu.  Andai ditakdirkan kita tidak bersama.... biarlah AJAL yang memisahkan kita.  Aku malu berdepan dengan dunia tanpa kau disisi.  Ada baiknya aku MATI.  Aku dah letih menahan hati... aku dah letih menangis... aku dah letih jadi yang terbaik walau tidak disukai.  Dengan itu.... halalkan segalanya abang... ampunkan dosa-dosaku dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.   Jaga anak-anak dan keluarga aku.... Aku sayangkan kamu semua tapi aku tak daya untuk kehilangan salah seorang dari kamu.  Biarlah aku pergi.... Aku amat tidak berdaya.... (-_-)

6.30 petang 
Sampai sahaja rumah aku terus mengunci bilik mengunci diri di dalam bilik…. Pada anak-anak aku minta jangan mengganggu ku…. Berikan aku ruang untuk diri aku sendiri… anak-anak seolah-olah mengerti.  Di dalam bilik aku menangis…bersedih dan terus bersedih tatkala hati terus merintih menangisi kepahitan yang menimpa diri….. tatkala memikirkan apa yang perlu aku lakukan sekiranya suami yang dikasihi tidak pulang memaafkan diri dan aku mahu terus menghukum diri aku sendiri…. Tidak kira dengan apa cara sekalipon!! Aku mahu mati!!
 
7.23 malam
Aku terdengar seruan Azan dari radio yang ku pasang dari telefon dimana tujuan asal aku memasang radio itu untuk mendengar lagu-lagu sentimental sambil menangisi diri sedari tadi…. Baru ku sedar… seruan azan tadi bisa membuat hati aku tenang….  Aku sedar selama ini aku jarang mengerjakan perintahnya.  Aku hanya melakukan bila teringat dan perlu.  Dalam saat ini… apabila mendengar alunan azan tadi… entah mengapa terlintas dalam fikiran… hanya Allah yang mampu memperbaiki keadaan kerana aku tahu aku tidak bersalah.  Laju aku bangkit dan terus ke bilik air untuk mengambil wuduk…. Tanganku terus mencapai sejadah dan telekung baru pemberian suamiku minggu minggu lalu setelah dia pulang dari Kelantan.  Hiba rasa hati….. saat aku memasangkan telekung pemberian suami ke badan, air mata ini terus berjujuran dipipi.  Amat besar maknanya pada aku pemberian ini.  Rupanya… inilah tujuan Allah nak tunjukkan pada aku yang pemberian suami ku ini ada hikmah yang tersirat bakal berlaku.  Sedih…. Aku tunaikan solat maghrib dengan penuh hiba sambil  menyesali perbuatan ku selama ini.  Sambil aku bersujud… aku ternampak wajah suami dan anak-anak.  Betapa besar rahmatmu Ya Allah pada harini… Kau beri aku peluang untuk tidak melakukan perkara-perkara yang dilarang mu Ya Allah. 
Selesai solat maghrib…. Aku memanjatkan doa kepada Illahi  agar dosa-dosaku diampunkan…  begitu juga dosa-dosa suami, anak-anak dan kedua-dua ibu bapa ku juga minta diampunkan…. Paling aku berdoa agar Allah bisa melembutkan hati suamiku untuk pulang ke rumah dan juga dilembutkan hatinya agar menerima ku kembali seadanya.  Berkali-kali ku ulang doaku sambil air mata berjujuran di pipi.  Wajahnya sentiasa dalam fikiranku ketika aku berdoa sambil terbayang segala usikan dan belaian suamiku ini sepanjang perkahwinan kami.  Amin…. Ya rabbal a’lamin….  Aku mencari surah yassin di dalam laci…. Sedang aku hendak memulakan bacaan Yassin… Anak-anak aku mengetuk pintu bilik mengatakan suamiku telah pulang tetapi dia berada di Kantin Pekerja Indonesia di kawasan perumahanku.  Aku sangat bersyukur dengan rahmatmu Ya Allah!!  Walau pun Kau belum sampaikannya di rumah…. tapi sudah menjadi satu rahmat yang besar padaku Kau telah membawa dia pulang.  Aku minta anak-anak mandi aku bersihkan diri dan menyiapkan kerja sekolah.   Aku kembali ke tikar sejadah dan memulakan bacaan Yassin.  Entah mengapa… hati ini terasa amat pilu…. Sambil bacaan yassin meniti di bibir…. Wajah suamiku terus bermain difikiran….  Apakah petandanya itu???  Hanya Allah sahaja yang mengerti.  Mungkin dia adalah suamiku yang terbaik Allah anugerahkan pada aku.  Sekiranya selama ni tanpa aku sedar yang suamiku adalah insan yang paling menyayangiku… harini aku mengerti betapa hancur dan hibanya hati suamiku kerana menyangka aku berlaku curang.  Apa pon… aku akan terus meminta ampun dengan suamiku hingga dia memaafkan aku tanpa sekelumit jemu  dan tanpa sekelumit gentar kerana aku tahu aku tidak bersalah.  Suamiku adalah hak aku!!

Selesai bacaan yassin… aku terbaring di tikar sejadah sambil memandang ke arah telefon yang menunjukkan waktu untuk ke sembahyang Isyak pula.  Entah mengapa…. Air mataku sukar dibendung ketika itu.  Sehinggalah aku terdengar suara Azan Isyak mula berkumandang di radio telefon hingga tamat… aku terus bangkit menunaikan Solat Isyak…. Sekali lagi aku menadah tangan ke hadrat Illahi agar segala dosaku dia, suamiku dan ahli keluarga ku yang lain diampunkan dan sejahtera hendaknya kehidupan mereka. Sekali lagi juga aku berdoa agar suamiku dilembutkan hati dan mengasihani diri ini berulang-ulang kali sambil menitiskan air mata hiba.  Aku teramat menyayanginya Ya Allah.  Kau peliharalah perkahwinan kami ini.  Amin Ya Rabbal A’lamin.

Aku meletakkan telekung pemberian suamiku di dalam lipatan sejadah.  Aku berbaring di birai katil sambil termenung mendengar radio yang dipasang ditelefon.  Dalam 10 minit aku begitu…. Tiba-tiba terdengar bunyi enjin motor suamiku tiba di porch rumah.  Tergumam aku seketika…. Ya Allah…. Begitu pantas kau menunjukkan kekuasaan mu.  Kau telah membawa lelaki ini pulang walau aku tahu belum tentu hatinya lembut kepadaku tetapi bagiku ia sudah cukup untuk memadai dia pulang ke rumah.  Indahnya kekuasaan mu Ya Allah!!  Aku tau… sekiranya suamiku ada di rumah… kebajikan dan makan pakai anak-anakku akan terbela.  Jadi aku terus membaringkan diri sambil melayan perasaan hingga terlelap tanpa secubit makanan pon yang singgah di mulut dan perutku seharian itu.  Entah mengapa….tiada sedikit pon perasaan lapar ketika itu.  Malam itu…..Aku tidak mahu  mengganggu suamiku…. Aku hendak beri peluang kepada suamiku untuk memikirkan segala-galanya dengan waras dan tawakal….  Aku berserah kepada Allah…

19 Jan

6.10 pagi
Aku tersedar dari tidur apabila terdengari bunyi alarm telefon… terus aku ke bilik air membersihkan diri dan mengambil wuduk untuk menunaikan solat Subuh.  Selesai solat aku terus berdoa seperti sebelumnya….. minta ketenangan hati dan dilembutkan hati suamiku…. Dengan telekung yang masih di badan… aku keluar bilik mencari suamiku… dia tidur di bilik anak daraku…. Anak-anakku yang lain tidur di ruang tamu.  Pintu bilik terkunci tetapi lampu bilik terpasang… Aku mencari kunci bilik dan cuba membuka tombol pintu.  Alhamdulillah… setelah dah berkali-kali mencuba akhirnya berjaya.  Aku lihat suamiku sedang tidur mengereng di katil kecil anak daraku…. Dengan telekong yang masih terpasang di badan…. Aku membaringkan diri di sebelah suamiku sambil memeluknya dari belakang dengan penuh kasih sayang dan linangan air mata.  Walau aku tahu suamiku tidak mahu dipeluk… aku tetap hendak memeluknya.   Dia tidak menolak ku pon ketika itu sudah cukup baik.  Walau beberapa kali dia cuba mengalihkan posisi badannya… aku tetap mahu terus memeluknya.  Aku tidak mahu melepaskannya.  Biar dia tahu… sejauh mana dia pergi… sejauh itu aku akan menggapainya.  Tak terucap kasih sayangku padanya….  Kami terus terlelap di katil kecil itu hingga pukul berapa aku sendiri tak pasti. 

Bagai diberi isyarat… walau aku terlelap… aku tahu suamiku bangun dari sisi aku.  Aku bangun sama dan menanggalkan telekungku dan keluar dari bilik anak daraku… ku lihat dia sedang duduk di sofa sambil menonton tv.  Aku terus ke dapur menyediakan sarapan pagi untuk keluargaku setelah 2 hari aku mogokkan diri aku dari memasak kerana terlalu bersedih. 

Selesai memasak dan siap menghidangkan makanan.  Aku kembali kepada suamiku.  Kali ini…aku akan tetap pujuk dia sedaya upayaku walau air mata ini telah mencurah-curah tanpa henti dan tidak bermakna apa-apa pada dia…. Aku akan tetap pujuk suamiku!! Aku akan tetap terus meminta ampun darinya walau aku tidak bersalah.  Aku redho… aku terus menangis dan meminta ampun…. Aku terima sahaja kemarahan yang keluar dari mulutnya….   Aku cuba untuk mencium tangannya tapi suamiku terus mengelak dari aku memegang tangannya.  Aku mengerti dia terluka tapi aku mahu pengertian dan kemaafan darinya.  Aku tidak peduli!!  Entah macam mana…. Aku dapat memegang tangannya…. Aku cium dan meratap…. “Tangan dempak ini yang I rindukan… tangan ini yang selalu mencubit, mengeletek dan mengusik I… tangan ini yang selalu membelai rambut I… tangan ini yang selalu menggaru I dan tangan ini yang selalu memeluk I.  Tangan ini juga yang beri I makan dan kasih sayang.  Please don’t go away from me… I miss this hand…. Please yang…. I love u abang… Macam mana I nak hidup tanpa u.  Please abang” Aku terus meratap…. Peluh tubuhku yang mengalir usah dikata… tapi aku tidak peduli…. Perhatian suamiku yang aku peduli.  Entah bagaimana….. dengan kata-kataku tadi…..suamiku memegang pipiku menatap wajah aku…. Aku menangis hiba di tangan yang memberi makna dalam hidupku itu selama bergelar isteri … aku cium leher… pipi dan dahinya…. Aku terus meminta ampun…. Aku memeluknya sambil bersyukur kerana Allah telah melembutkan hatinya.  Suamiku memelukku…. Suasana hiba seketika……  Ya Allah…. Aku bersyukur… Kau telah tunaikan permintaanku.  Bagaimana aku harus berterima kasih padamu Ya Allah.  Aku baring disisinya  dan memeluk tubuhnya sambil ada sisa tangisan.  Aku mengerti… walau dia memaafkan aku… tapi disudut hatinya tetap terluka kerana menyangka perbuatanku... Aku akan tetap terus berdoa untuk suamiku menyayangiku sampai akhir hayat kami nanti.
 
Alhamdulillah…. Setelah beberapa hari berlalu…. Tanpa sekali aku meninggalkan perintah mu Ya Allah…. Aku lebih merasa tenang…. Aku akan tetap terus berdoa untuk suamiku di dalam setiap solat-solatku….. Aku sedar…..walau pon dia berbuat baik padaku dan menunaikan tanggungjawabnya sebagai suami tapi aku tahu… jauh disudut hatinya masih ada sekelumit sakit hati kepada lelaki yang cuba mengganggu rumah tangga kami.  Aku tahu dia cuba selidik dari teman-temanku  yang mengenali lelaki dari zaman silamku itu.  Pada aku….. lakukanlahh apa saja… asalkan dia tidak melakukan perkara yang menyalahi undang-undang.  Aku tahu aku tidak bersalah.   Yang penting… aku hanya mahu kasih sayangnya dalam hidupku.  Aku akan tetap terus berdoa… moga pernikahan ini akan berkekalan hingga ke Jannah!!  Andai ditakdirkan jodohku dengannya tidak berpanjangan… biarlah hanya dengan panggillan Allah sahaja yang dapat memisahkan kami.  Amin Ya Rabbal A’lamin…
 

NOTA DARI EMMYMAZLI

PERIHARALAH DAN SAYANGILAH HUBUNGAN SUAMI ISTERI YANG TERBINA.  ALLAH MENJADIKAN SETIAP PASANGAN DAN PERHUBUNGAN ITU ADA PASANG SURUTNYA… SETIAP SATUNYA ADA HIKMAH DISEBALIKNNYA.  CUBALAH PERBAIKI KELEMAHAN DIRI UNTUK MENIKMATI KASIH DARI YANG HAKIKI.....

Ada kata-kata dari blog seorang teman yang mengusik perasaanku....

ENGKAU TERBAIK UNTUKKU 

"Sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri, buang yang keruh, 
ambil yang jernih. Baru teguh peribadi." 

Wahai teman bergelar isteri, mari kita muhasabah diri. Pohon keampunan dari Ilahi agar cinta Nya bersemi kembali. Banyakkan istighfar dan juga sedekah, kerana janji Allah setiap kebaikan menghapus kejahatan. 

Susunkan jemari pintalah kemaafan dari lelaki bernama suami. Jangan bertangguh dan jangan lengah. Bimbang maaf tiada serinya lagi. 

Pandang wajahnya, lihat matanya. Bisikkan di sanubari, "Terima kasih, suamiku. Engkau terbaik untuk diri ini." 

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi. 

Saling berpesan-pesan kpd kebaikan.. 

"The only real mistake is the one from which we learn nothing..."

0 comments:

Catat Ulasan

Komenlah entry saya!! Komen korang yang sememangnye paling best!!

Daisypath Anniversary tickers
 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...