Isnin, 17 Mac 2014

Day 1: Bengkel Penulisan dan Pelaporan Media dan Fotografi

Posted by Emmymazli at 4:47 PTG
12 Mac 2014 - Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah, Pahang

Salam semua....

Ingat tak story mengenai aku diarahkan ke bengkel seperti tajuk di atas tu??? Kalau tak tau... inilah storynya.... (klik di sini)

Anyway.... kalini aku nak story pasal aktitiviti yang kami lalui....

Day 1
Pusat Lawatan Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah, Pahang

Aku dan sahabat-sahabat baru yang terdiri daripada urusetia Rakan Alam Sekitar, wakil dari jabatan dan agensi serta pihak media telah bertolak dari NRE pada jam 10.30 pagi.  Perjalanan pertama kami mengambil masa lebih kurang 2 1/2 jam untuk tiba di Kuala Gandah, Lanchang, Pahang untuk ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan. 
Setibanya di sana, kami diberi sticker setiap seorang yang membenarkan kami masuk ke pusat tersebut sebagai pelawat.  Ketika kami sampai, tempat tersebut boleh dikatakan menerima ramai pelawat dari luar negara.
Sebelum kami meneruskan perjalanan kami di dalam pusat tersebut, kami dan juga pelawat-pelawat lain dialu-alukan untuk ke bilik tayangan video.  Video  yang ditayangkan adalah mengenai aktiviti penangkapan/penyelamatan/pembebasan gajah bernama Amanda, Caroline dan Vincen ke kawasan hutan Taman Negara yang di rakam khas bersama National Geographic.  Gajah-gajah ini pada asalnya dari kawasan hutan yang diterokai manusia yang kini menjadi kebun kelapa sawit.  Akibat dari aktiviti pertanian tersebut, sekumpulan gajah mula mengganggu dan merosakkan tanaman dan juga mengganggu penduduk di perkampungan yang berhampiran.   Maka dengan itu, sekumpulan pegawai dari Jabatan PERHILITAN dipertanggungjawab untuk memastikan gajah-gajah tersebut tidak mengancam manusia malah manusia itu sendiri tidak mengancam gajah yang menjadi haiwan terancam di dunia.  Pada aku, video ini amat menarik untuk ditonton.
Tamat sahaja tayangan video, kami di bawa ke kawasan quarters lama pegawai Perhilitan.  Rupa-rupanya kami telah dinanti Encik Rasli Othman atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah  dengan hidangan tengahari yang menyelerakan.  Dalam banyak-banyak hidangan, lauk yang menjadi perhatian aku sudah pastilah ikan patin masak tempoyak! Sangat sedap dan menyelerakan.
Selesai makan tengahari, kami dibenarkan masuk ke kawasan gajah.  Kami dapat melihat dengan jelas gelagat gajah-gajah di situ dan diberi peluang untuk memberi makan kepada gajah dan bergambar dengan mereka.  Walaupun aku agak takut-takut untuk memberikan gajah makan dan menyentuh mereka, Zuraida teman baru dari Perhilitan menyuruh aku mencuba sendiri dan merasai pengalaman itu.
Sambil kami melihat gajah disekeliling, aku didekati oleh Pak Ngah.  Pak Ngah adalah interpreter di pusat itu.  Sedikit sebanyak Pak Ngah telah berkongsi maklumat mengenai pusat ini.  Secara jujurnya, aku pertama kali mendengar perkataan 'mahout' di pusat tersebut.  Mahout adalah gelaran bagi penjaga gajah.  Setiap seekor gajah diberikan 2 orang mahout yang akan menjaga dan mengajar gajah-gajah tersebut secara khas.  Mahout yang ditugaskan menjaga gajah tidak boleh ditukar sembarangan kerana bimbang jika gajah yang dijaga mendapati mahout itu tidak sesuai dengan mereka.  
Kami bernasib baik pada hari itu apabila kebanyakkan gajah yang terdapat di pusat tersebut telah dikeluarkan dan diperkenalkan kepada pelawat pada hari berkenaan.  Gajah-gajah bersama mahoutnya telah dibawa ke sungai berhampiran untuk dimandikan agar mereka ceria dan segar serta cukup air dalam badan sebelum kami dihidangkan dengan pertunjukkan khas dan sesi perkenalan dengan gajah-gajah di situ.  Antara gajah-gajah yang diperkenalkan ialah Tahan, Sanum, Abot, Kasturi, Siti, Rambai, Lasah, Timur, Kala dan lain-lain lagi.  Nama-nama gajah ini diberikan berdasarkan tempat mereka dittemui.  Aksi-aksi yang dilakukan menunjukkan gajah-gajah itu telah dilatih dengan baik.  Aksi yang dibuat oleh gajah tersebut sebenarnya adalah salah satu cara mohout mereka merawat dan membantu mereka jika tercedera dan sebagainya. 
Tamat sesi perkenalan, pelawat pusat konservasi gajah ini berpeluang memberi makan pada gajah yang melakukan aksi tadi dan bermandi bersama anak gajah dalam sungai sambil bergambar.  Sayangnya, kami tidak dapat 'membasahkan' diri kami memandangkan perjalanan kami masih jauh petang itu.  Terasa amat kerugian.  
Kami dimaklumkan pusat yang seluas 10 hektar ini memiliki 27 ekor gajah.  Kebanyakkannya gajah-gajah yang terdapat  pusat konservasi ini telah terlatih serta bijak.  Mereka dilatih menjadi gajah yang 'bekerja'.  Antara tugas-tugas gajah tersebut ialah membantu mahoutnya menenangkan gajah liar yang dijumpai atau ditangkap semasa hendak memindahkan gajah liar tersebut.

Pak Ngah menjelaskan, pada dasarnya, pusat konservasi ini bukanlah zoo bagi gajah-gajah tetapi tempat untuk menyelamatkan, merawat dan melatih gajah-gajah yang tercedera dan terasing dari kumpulan mereka di hutan.  Jika gajah yang diselamatkan sudah cukup umur dan dirasakan sesuai untuk dilepaskan di dalam hutan, pusat ini akan melepaskan gajah tersebut supaya kembali kepada hidupan asal mereka.  
Komen aku sendiri sebagai pelawat dan pemerhati pusat tersebut sebenarnya berasa sangat puas hati pada kali ini bila diberi penerangan jelas oleh Pak Ngah dan berpeluang memegang dan memberi makan gajah. Sebelum beredar, kami sempat bergambar kenangan bersama Pak Ngah dan ahli Rakan Alam Sekitar lain yang menyertai bengkel ini.  
Sedikit perkongsian buat pengunjung blog ini tentang Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan ini.  

*  Pusat ini terletak 15km dari pekan Lanchang, daerah Temerloh, Pahang.  Untuk ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah ini, pelawat boleh memandu dengan selesa dan mudah.

*  Sebelum mengunjungi pusat ini, pelawat/anda digalakkan menelefon, menghantar surat atau membuat tempahan melalui sistem E-Tempahan di laman web www.wildlife.gov.my.

*  Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan merupakan satu pusat yang unik di Malaysia di mana peranan utamanya adalah untuk menangkap dan memindahkan gajah-gajah liar yang habitatnya diterokai pembangunan dan perladangan.

*  Pusat ini juga merupakan  tempat perlindungan bagi gajah denak dan gajah liar yang memerlukan rawatan.

*  Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah juga mempunyai matlamat meningkatkan kesedaran dikalangan orang ramai tentang ancaman dan tekanan yang dihadapi oleh gajah di Malaysia.

*  Pusat konservasi ini menggalakkan kajian dan penyelidikan berkaitan teknik pemindahan semula dan konservasi gajah. 

*  Pusat ini juga giat memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan konservasi hidupan liar dan habitatnya.

*  Para pelawat digalakkan menonton dokumentari berkaitan penangkapan dan pemindahan gajah liar yang dirakamkan dengan kerjasama krew National Geographic.

*  Selain itu, program khas boleh disediakan untuk rombongan sekolah. 

*  Waktu pembukaan:  9.00 pagi - 5.00 petang.

*  Hubungi di talian telefon:  09-2790391

Selesai segalanya, kami menaiki bas menuju ke Kuantan dan kami menyinggah di kedai makan D'Orange untuk menikmati hidangan makan malam yang sangat lazat dan menyelerakan. Antara lauk-lauk yang kami nikmati adalah  ikan pari bakar, tomyam campur, sotong goreng tepung, telur dadar, ikan siakap 3 rasa, kailan ikan masin dan sambal belacan.
Selesai makan malam, kami meneruskan perjalanan ke Kuala Besut dan bermalam di Kem Seri Keluang.

Bersambung seterusnya......

0 comments:

Catat Ulasan

Komenlah entry saya!! Komen korang yang sememangnye paling best!!

Daisypath Anniversary tickers
 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...