Day 3
Pulau Perhentian
Seawal jam 8.00 pagi kami telah bersedia untuk sesi bengkel seterusnya. Sebelum itu kami mengisi perut dulu. Sarapan pagi yang disediakan pihak resort memang terbaik.
Kelas pagi itu sangat membuka minda aku. Antara yang ditekankan adalah cara menulis laporan media yang memfokuskan point-point yang hendak diceritakan. Dari point-point itu baru kami dapat jadikan ayat yang sempurna.
Selepas itu setiap kumpulan dikehendaki menulis laporan atau artikel dari point-point yang kami telah buat. Point-point yang kami terima adalah dari maklumat sepanjang dua hari kami lalui ketika berada di Pulau Perhentian. Terpulang pada kumpulan masing-masing. Apa yang ingin mereka fokuskan.
Kumpulan aku bekerja keras untuk dapatkan artikel yang terbaik. Masa yang diberikan sangat singkat. Bila diberikan tugasan dan diperlukan dalam masa yang singkat, mulalah perasaan menggelabah timbul. Point artikel yang kami fokuskan adalah mengenai 'Ekopelancongan'. Encik Asmar, salah seorang kumpulan kami yang juga merupakan jurufoto yang agak hebat memberikan idea supaya meletakkan drama dulu dalam artikel kami supaya apa yang kami tulis tidak terus tertumpu pada apa yang kami nak ceritakan. Cara ini juga boleh membuatkan pembaca rasa teruja untuk meneruskan pembacaan walaupun sebenarnya tidaklah sehebat mana artikel kita tu.
Sehingga tamat kelas tengahari di mana peserta lelaki perlu beredar menunaikan solat Jumaat, kumpulan aku masih di dalam bilik bengkel untuk menghabiskan artikel kami. Terasa payah untuk menyusun kata. Sampai tertidur teman sebilik yang juga ahli kumpulan aku di atas meja. Bukan apa, bagi penulis amatur seperti kami, satu artikel yang agak berat diceritakan terasa agak sukar bagi kami terutamanya aku.
Tepat jam 1.30 petang baru kami beredar untuk makan tengahari dan seterusnya balik ke bilik masing-masing untuk merehatkan minda.
Jam 2.30 petang kelas bersambung dan Encik Zamri telah membantu kami untuk overhaul artikel yang kami tulis. Dari situ kami nampak kelemahan dalam artikel kami. Walau apa pun, kami mula faham apa yang orang media fikirkan untuk menulis artikel-artikel hebat mereka. Boleh lihat artikel kumpulan kami di SINI.
Kelas seterusnya di sambung oleh Encik Azree yang juga dari Akademi Penulis. Encik Azree menerangkan mengenai Asas-asas Fotografi dan juga teknik yang baik dalam mengambil gambar. Perkongsian ini juga amat menarik walau hakikatnya pada ketika itu aku sudah mula letih untuk berfikir. Susah sangat guna mood 'Auto' sahajalah.
Petang itu, kami ke pantai beramai-ramai dan menikmati keindahan alam marin sekali lagi. Mujur aku berfikir jauh sedari awal. Sebelum itu, semasa kami menikmati sarapan pagi, sempat aku mengambil beberapa keping roti dan aku simpan di dalam beg untuk aku gunakan sebagai umpan memancing ikan semasa snorkeling petang itu.
Ketika snorkeling, seperti biasa bagi aku yang tidak pandai berenang agak sukar untuk pergi jauh. Hakikatnya, lagi jauh kita pergi, lagi cantik apa yang ada didasar laut. Syukur sekali lagi apabila Encik Sabri sekali lagi muncul di situ bersama Encik Imran dan mereka bantu aku untuk berenang ke tempat yang agak dalam dan menarik. Kali ini, Encik Sabri sempat merakam video dan gambar aksi-aksi aku bersama ikan-ikan. Beliau juga menunjukkan kawasan batu karang yang cantik dan mengambil beberapa keping gambar hidupan laut yang aku tidak dapat ambil.
Saksikan video aku bersama ikan-ikan
Bila melihat waktu dan keadaan air sudah agak gelap, kami semua dinasihatkan oleh Encik Imran dan Encik Sabri supaya naik ke darat. Ini semua adalah atas faktor keselamatan.
Sepatutnya aku dan dua orang lagi rakan terus balik ke bilik dan bersihkan diri. Tetapi bila hendak melintasi bilik kami terus rasa tergugat dengan kolam renang yang sedari hari pertama kami hanya mampu pandang dan lintas sepanjang berkursus. Terus kami melompat masuk kolam renang dan 'bilaskan' diri. Sempat juga bergambar selfie di dalam air dan menyaksikan peserta lelaki membuat pelbagai aksi air.
Malam itu hidangan yang disediakan agak istimewa. Hidangan BBQ ala romantik dengan cahaya lilin di meja, di tepi pantai sambil ditiup angin laut. Masa makan yang diberikan juga agak lama walaupun ada satu lagi kelas yang perlu diselesaikan malam itu.
Sepanjang menikmati hidangan malam sempat kami berkongsi cerita menarik yang mencuit hati. Sudah semestinya aku yang menjadi bahan utama. Alkisahnya, ketika aku bersnorkeling pada petang itu, aku ada membawa roti bersama untuk dijadikan umpan ikan. Memandangkan baju renang muslimah yang aku pakai tiada kocek dan aku sendiri tidak membawa beg, aku telah menyelitkan roti di dalam life jacket di dada aku (posisinya sama seperti nenek-nenek kita letakkan duit dalam baju). Pada pemikiran aku, tindakan aku itu adalah perkara biasa kerana bukanlah letak dalam baju hingga kena selak tetapi hanya diselitkan roti itu di dalam life jacket sahaja. Aku buat begitu kerana agak sukar bagi aku berenang walaupun hakikatnya aku tak pandai berenang. Yang keduanya, aku tidak mahu bawa plastik roti kerana aku bimbang nanti aku terlupa untuk membuang plastik tersebut. Ketiganya, aku rasa mudah letak di situ kerana roti tersebut walaupun di dalam air dan lembik tetapi bila diletak di situ ia tidak hancur seperti keadaan bila kita menggenggam ia.
Rupa-rupanya tindakan aku itu diperhatikan oleh teman-teman lain terutamanya yang meminta roti dari aku ketika itu. Ia menjadikan hal itu sesuatu perkara baru dan lucu bagi mereka. Encik Imran terutamanya memberitahu, sepanjang beliau bertugas dalam Jabatan Taman Laut Malaysia, ini merupakan kali pertama dia mendengar dan melihat perkara seperti aku buat berlaku hingga mendapat jolokan 'Roti Susu'. Apa yang penting, bila aku kenang kembali jolokan tersebut, baru aku terfikir yang sepanjang aku bersnorkeling pada petang itu, aku perhatikan diri aku sentiasa diikut oleh ikan-ikan walaupun ketika itu aku tidak mengumpan ikan-ikan dengan roti. Rupa-rupanya, ikan-ikan tu terhidu bau roti dan tahu dimana aku simpan. Sebab itu ikan-ikan sentiasa berenang berdekatan dengan aku ketika itu dan apabila aku berikan roti lagi banyaklah ikan-ikan akan menghampiri.
Tamat cerita 'Roti Susu', kelas bersambung jam 9.00 malam. Kalini kami didedahkan mengenai pengalaman En. Mohd. Noor sebagai jurufoto media dan juga Pendaki Solo Negara yang memecahkan rekod The Malaysia Book of Records. Sangat menarik pengalaman beliau sebagai jurufoto media terutamanya mengenai Projek Malaysia-Everest 97. Cerita selanjutnya boleh di dapati di sini Kosmo! Online - Rencana Utama atau pun di blog Pendaki Solo itu sendiri.
Malam itu merupakan malam terakhir kami. Aku dan beberapa teman sempat mengambil angin malam di tepi laut sambil kami berbual mengenai diri masing-masing. Rasa seperti tidak mahu pulang dan ingin terus duduk disitu tetapi masing-masing ada tanggungjawab dan kehidupan yang perlu dilaksanakan serta diteruskan.
0 comments:
Catat Ulasan
Komenlah entry saya!! Komen korang yang sememangnye paling best!!